Rencana
| 23 Januari, 2005 15:13 PM |
|
Sebuah Persahabatan Yang Istimewa

ERTI
PERSAHABATAN… Dr Mazalan Kamis ketika bersama Saiful Mahdi
(kanan). Mereka bukan sahaja tinggal di bangunan apartmen yang
sama, malahan isteri mereka membeli-belah bersama-sama
manakala anak mereka pula ke sekolah dan bermain
bersama-sama. |
Oleh Salmy
Hashim
WASHINGTON, 23 Jan (Bernama) -- Rakyat Malaysia,
Dr Mazalan Kamis, seorang fellow pasca ijazah kedoktoran di Cornell
University, Ithaca, New York, hanya menjalin persahabatan dengan
Saiful Mahdi, iaitu siswazah dari Aceh sejak setahun
lepas.
Mereka tinggal di bangunan apartmen yang sama, isteri
mereka membeli-belah bersama-sama manakala anak-anak mereka pula ke
sekolah dan bermain bersama-sama.
Mereka sedang dalam
percutian musim sejuk di Chicago apabila tsunami melanda pada 26
Dis.
Apabila gempa bumi dan ombak besar itu memusnahkan Banda
Aceh, menghanyutkan 34 buah kampung serta mengorbankan banyak
anggota keluarga Saiful, Mazalan, 41, segera menghulurkan bantuan
dan mengumpul lebih US$50,000 (US$1=RM3.80) dalam masa tujuh hari
dengan bantuan rakan-rakannya dari Malaysia, Indonesia dan Amerika
selain masyarakat Amerika Syarikat di seluruh negara
berkenaan.
"Kami mengetahui berita itu menerusi TV hotel di
Chicago. Pada mulanya Saiful berjaya menghubungi bapa saudaranya dan
apabila beliau cuba menghubunginya semula selepas itu,
segala-galanya sepi. Kami pun memendekkan percutian dan berlepas
pulang.
"Semasa kami memulakan perjalanan, jumlah kematian
ialah 4,000 orang tetapi dengan pantas meningkat kepada 15,000
orang, kemudiannya 25,000 orang dan sebaik sahaja tiba di Ithaca
selepas melalui perjalanan selama 14 jam, 40,000 orang telah
terkorban di Banda Aceh. Kami begitu terkejut dan berasa amat
sedih," kata Mazalan menerusi perbualan telefon dengan
Bernama.
Sehingga kini, lebih 160,000 orang terkorban di Aceh
dan hampir 70,000 orang lagi di Sri Lanka, Thailand, India serta
sebahagian Afrika. Lebih 60 orang meninggal dunia di
Malaysia.
Usaha menyalurkan bantuan dan pemulihan masih
dijalankan bagi membantu mangsa-mangsa yang terselamat serta
beribu-ribu anak yatim ekoran bencana berkenaan.
Mazalan
memulakan inisiatif itu dengan menggerakkan masyarakat
Malaysia-Indonesia (kira-kira 10 keluarga) di Ithaca dan Syracuse --
semuanya bersetuju bahawa sesuatu perlu dilakukan.
Beliau
menghantar e-mail kepada rakan-rakannya, dan rakan-rakan itu
kemudiannya menghubungi kawan-kawan mereka, berita tersebar dengan
cepat di seluruh Amerika Syarikat dan jumlah wang yang tidak
dijangka kemudian mengalir ke dalam akaunnya.
"Dalam masa
tiga hari saya dapat mengumpulkan US$12,000. Sungguh mengagumkan
kerana ada banyak orang yang sedia membantu. Dengan pertolongan
seorang rakan, kami membangunkan laman web -- www.acehrelief.org --
dan menubuhkan Tabung Bantuan Aceh. Journal dan gambar-gambar milik
Saiful mengenai apa yang berlaku di sana dapat dilihat menerusi
laman web itu," katanya.
Stesen TV dan wartawan akhbar
tempatan datang menemubual kedua-dua lelaki itu dan usaha-usaha luar
biasa mereka.
"Masyarakat antarabangsa di Ithaca keluar
beramai-ramai. Kami menerima wang dari Vermont, Washington, Florida,
California, Ohio, New Jersey, Indiana, Texas dan New York daripada
syarikat-syarikat, masyarakat Islam, kumpulan gereja serta
pelajar-pelajar sekolah.
"Laman web dan tabung itu sehingga
kini berjaya mengumpul lebih US$61,000. Ia merupakan pengalaman yang
memberangsangkan dan kami harap mendapat lebih banyak sumbangan
memandangkan keperluan yang amat mendesak," kata
Mazalan.
"Saiful berlepas pulang dengan wang yang cukup untuk
membeli bekalan, menyewa sebuah van dan trak kecil bagi mencari
keluarganya serta membantu dalam usaha-usaha
pemulihan.
Semasa dalam penerbangan dari Singapura ke Medan,
beliau bertemu seorang pesara jururawat British berusia 69 tahun,
yang secara sukarela memberi bantuan berkaitan perubatan. Van itu
menjadi klinik bergerak dengan bantuan seorang doktor tempatan,"
kata Mazalan, yang berasal dari Pernu, Melaka. Beliau sudah
berumahtangga dan mempunyai empat orang anak berumur antara empat
dan 16 tahun.
Saiful, 36, yang telah berkahwin dan mempunyai
tiga cahaya mata, akhirnya menemui kakaknya, suaminya beserta tiga
anak mereka yang menyelamatkan diri daripada ombak besar itu dengan
bersembunyi di bumbung sebuah bangunan tiga tingkat.
Beliau
masih mencari dua lagi adiknya dan keluarga mereka namun beliau
percaya nenek serta bapa saudaranya sekeluarga maut dalam bencana
itu.
Ibunya yang kini berada di Mekah untuk mengerjakan haji
belum dimaklumkan mengenai tragedi itu.
Dengan wang yang
berjaya dikumpulkan, kedua-dua lelaki berkenaan merancang menubuhkan
sebuah "sekolah sementara" untuk terus memberikan pendidikan kepada
kanak-kanak di kawasan terbabit.
Mereka juga bercadang
membangunkan semula dua pusat tuisyen, yang dibina oleh
Saiful.
Daripada 70 orang guru di pusat berkenaan, hanya 11
orang yang terselamat dan amat sedikit daripada 900 orang pelajar
yang mengikuti pelajaran di situ yang masih tinggal.
Menerusi
fasa 2, mereka bercadang membina sekolah berasrama penuh bagi
anak-anak yatim dan Mazalan berharap agar dapat mewujudkan sebuah
yayasan untuk jangka panjang.
Perancangan juga dibuat di
Ithaca untuk mengambil sebuah kampung atau daerah sebagai anak
angkat bagi proses pemulihan semula manakala dua orang guru tempatan
menawarkan diri untuk mewujudkan hubungan antara Ithaca dan
masyarakat di Aceh.
Kanak-kanak dari sebuah sekolah tinggi di
Syracuse pula menjual riben hitam bagi pihak Tabung Bantuan Aceh
manakala sebuah pawagam di Ithaca pula bercadang menayangkan filem
Indonesia sebagai menyokong usaha berkenaan.
--
BERNAMA
|